Kelahiran Angkatan Belia Islam Malaysia
Awal tujuhpuluhan
pertiwi sudah hamil tua.
Selepas subuh
menjelang matahari naik
tak semena-mena cuaca gelap gulita
kilat sabung menyabung
Di bilik sewa, beralas tikar usang
bunda merintih
tidak seorang bidanpun mahu datang
namun, tuhan lebih berkuasa
pertiwi selamat melahirkan
putra bertuah, satria perkasa
Angkatan Belia Islam Malaysia
Sedari bayi, dia tidak pernah dibelai
dia ditendang dan disiksa
semua orang mahu, ia mati tidak berkubur.
Anehnya,
makin didera, dia semakin perkasa
makin ditendang. barisannya semakin panjang
makin diinjak, suaranya semakin klantang.
Biar mengamuk seibu taufan
biar gelombang setinggi gunung
di hatinya tidak terbetik rasa takut
imannya, tidak pernah bergoncang
keyakinannya semakin teguh, kerana
pantai berlabuhnya terang benderang di hati, iaitu
untuk mendaulatkan Al Qur'an dan Sunnah.
Kini,
namanya, telah terpahat di hati anak bangsa
benderanya, telah berkibar di seluruh penjuru mayapada
himbauannya, telah menembusi tembok-tembok kekuasaan
pemikirannya, telah menyelinap ke dalam kebijaksanaan-kebijaksanaan.
Namun, pelikatnya, masih cap gajah, dan
akan terus cap gajah
mandi di hilir-hilir
berkata dibawah-bawah.
Tapi,
jangan kau tanya semangatnya
kian lama kian marak berkobar, kerana
bahan bakarnya masalah kemanusiaan, yang
tidak akan selesai, selagi manusia ada.
Seremban, Ogos 1991
Suardi Sawai

No comments:
Post a Comment