Bicara Adat
SIRI 1
SUMBER DAYA MANUSIA
Yang cerdik ajak berunding
Yang alim tempat berguru
Yang cantik penanti tamu
Yang pekak pelepas bedil
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang bodoh disuruh arah
Yang berkurap pembawa buluh
Yang kuat pembawa beban
Yang berani jadi hulubalang
Begitulah metafora Melayu melihat potensi sumber daya manusia secara utuh. Semua sumber daya manusia diberi peranan masing-masing yang sesuai dengan fitrah dan keupayaan mereka. Tidak berlaku sebarang pembaziran tenaga manusia, seperti ;
yang pekak pelepas bedil,
sekiranya ia ditugaskan menembak, ia tidak akan merusakan pendengarannya, kerana dia memang sudah sedia pekak ; atau
yang cantik penanti tamu,
anda bayangkanlah kalau yang hodoh menanti tamu, sudah tentu ia akan mendatangkan kesan yang tidak menyeronokan kepada tetamu. Lazimnya, jika ada tetamu sudah tentu ada hajat yang ingin disampaikan, maka ketampilan penanti tetamu yang cantik akan menyejukan hati tetamu, dan diharapkan segala perundingan selepas itu akan berjalan dengan licin dan lancar, atau
Yang lumpuh penghalau ayam,
Tidak ada potensi manusia yang tidak dimanfaatkan dalam sistem adat, waima seorang yang lumpuh masih ada peranan yang wajib dipikulnya. Dengan kata lain, dalam masyarakat Melayu tidak berlaku ‘pengangguran’, walaupun ia cacat, namun masih boleh peranan untuk kepentingan komunitinya.
Oleh yang demikian, budaya Melayu adalah sebuah budaya yang sangat mengambil berat dan mengutamakan pengurusan sumber daya manusia secara optima dengan agihan peranan yang sangat serasi dengan fitrah mereka.

No comments:
Post a Comment