Pages

Monday, February 1, 2010

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI ; MEMBANDINGKAN MERCEDEZ DENGAN BASIKAL BURUK

Saya melihat, penilaian Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) untuk mengukur bsemua sekolah-sekolah di Malaysia seperti yang diumumkan oleh TPM barubaru ini, merupakan sesuatu langkah yang tidak munasabah kerana :

1. Bilangan guru dengan murid di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), antara 1 : 9 hingga 1 : 11, pernah satu ketika dahulu, salah satu SBP mempunyai kelebihan 16 orang guru. Lalu bagaimana di Sabah/Sarawak, 1 : 40 lebih.

2. Ada beberapa Pengetua SBP berpangkat JUSA bahkan dapat Dato' baru-baru ini, sedangkan sekolah lain si Sabah/Sarawak DG 48 tu dah handal sangat, bahkan ada yang baru DG 44 je.

3. Kemudahan SBP dibandingkan sekolah-sekolah di Sabah/Sarawak seperti siang dengan malam, coba kau amati fakta di bawah :

   a) Peralatan Wind Orchestra SBP lebih RM. 500,000.00, sementara sekolah lain tiada bah !
   b) Semua SBP ada kaunter on line, sementara sekolah di Sabah/Sarawak apipun tiada bah !
   c) Bilik komputer dan peralatan SBP, diperkirakan lebih baik daripada bilik guru + bilik pengetua di Sabah/Sarawak.

4. Sudah tentu beratus lagi fakta lain yang boleh diungkap, saya rasa semua guru-guru di Sabah/Sarawak sudah tentu dapat mengatakannya.

5. KESIMPULANNYA :

MENILAI SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI = MEMBANDINGKAN MERCEDEZ DENGAN BASIKAL BURUK.

Cadangan :

Demokrasikan pendidikan dalam erti kata sebenarnya, jangan hanya cakap-cakap demokrasi pendidikan tapi amalannya DISKRIMINASI TOTAL terhadap pelajar-pelajar rakyat Malaysia.

Konsep Sekolah Berasrama Penuh ini peninggalan penjajah seperti MCKK, TKC dan lain-lain yang patut dikaji semula kesesuaiannya dengan era sekarang.

Rombak sistem pendidikan di SBP kerana ia gagal mendidik pelajar-pelajar cemerlang dalam erti kata sebenarnya, hal ini terbukti apabila di universiti, ternyata sistem pendidikan sekolah Cina lagi unggul, fakta ini tergambar sewaktu konvokesyen, di mana ijazah kelas pertama 90% pelajar Cina.

Kota Kinabalu, 2 Feb 2010

Friday, January 15, 2010

Sajak

Mengenang Jasa Seorang Presiden
(Untuk Dr Siddiq Fadil, Presiden ABIM sesi '82 - '91)


Kau warisi nakhoda
ketika lautan bergelora, taufan mengamuk
awak kapal dilanda krisis kepercayaan
di malam gelap, kompas tidak menunjuk arah

Di pantai sana
orang bergendang keriangan
ABIM nazak
menunggu saat untuk ditalqinkan.

Kejernihan pemikiran, membuahkan
ketepatan analisa, merumus penyelesaian
keteguhan keyakinan, melahirkan
keberanian bertindak, tanpa mengenal lelah
keikhlasan amal, menjadikan
doa-doa dikabulkan tuhan.

Belum sempat menarik nafas lega
muncul penohok kawan seiring
penggunting dalam lipatan
sekali lagi
badai melanda, bahtera oleng
kecepatan, ketepatan dan ketegasan, yang
dipenuhi hikmah kebijaksanaan
menuntaskan penyelesaian.

Pemimpin agung tidak lahir
dalam istana dan subsidi
manusia besar ialah
anak pergelutan masalah kemanusiaan
penunggang terbaik krisis demi krisis
pelari yang memintas masa
pemeran utama perjalanan sejarah.

Kini,
Angkatan Belia Islam Malaysia
akarnya,telah menjunam ke perut bumi
pucuknya, telah menyapu-nyapu awan
buah dimakan orang lalu
tak akan sekah dek angin
tak akan tumbang dek badai

Siapa yang menabur bakti
akan mengetam jasa
siapa yang menyemai amal
akan menuai pahala
siapa yang menanam ikhlas
akan memetik syurga.

Sampai hati tuan berjalan
rumah siap tuan tinggalkan
hanya doa dapat kami bekalkan
semoga, selamat sampai di tujuan.

Kepergianmu paduka
kami lepas dengan rela dalam paksa
menentang takdir kami tak kuasa
yang tinggal, mesti meneruskan kerja.

Kami harap padamu tuan
maafkan segala kesalahan
kenanglah kami dalam pemikiran
serulah kami dalam kerinduan.

Seremban, Ogos 1991

Suardi Sawai

Sajak

Kelahiran Angkatan Belia Islam Malaysia

Awal tujuhpuluhan
pertiwi sudah hamil tua.


Selepas subuh
menjelang matahari naik
tak semena-mena cuaca gelap gulita
kilat sabung menyabung


Di bilik sewa, beralas tikar usang
bunda merintih
tidak seorang bidanpun mahu datang
namun, tuhan lebih berkuasa
pertiwi selamat melahirkan
putra bertuah, satria perkasa
Angkatan Belia Islam Malaysia


Sedari bayi, dia tidak pernah dibelai
dia ditendang dan disiksa
semua orang mahu, ia mati tidak berkubur.


Anehnya,
makin didera, dia semakin perkasa
makin ditendang. barisannya semakin panjang
makin diinjak, suaranya semakin klantang.


Biar mengamuk seibu taufan
biar gelombang setinggi gunung
di hatinya tidak terbetik rasa takut
imannya, tidak pernah bergoncang
keyakinannya semakin teguh, kerana
pantai berlabuhnya terang benderang di hati, iaitu
untuk mendaulatkan Al Qur'an dan Sunnah.


Kini,
namanya, telah terpahat di hati anak bangsa
benderanya, telah berkibar di seluruh penjuru mayapada
himbauannya, telah menembusi tembok-tembok kekuasaan
pemikirannya, telah menyelinap ke dalam kebijaksanaan-kebijaksanaan.


Namun, pelikatnya, masih cap gajah, dan
akan terus cap gajah
mandi di hilir-hilir
berkata dibawah-bawah.


Tapi, 
jangan kau tanya semangatnya
kian lama kian marak berkobar, kerana
bahan bakarnya masalah kemanusiaan, yang 
tidak akan selesai, selagi manusia ada.


Seremban, Ogos 1991


Suardi Sawai

Sunday, January 10, 2010


Bicara Adat


SIRI 1

SUMBER DAYA MANUSIA

Yang cerdik ajak berunding
Yang alim tempat berguru
Yang cantik penanti tamu
Yang pekak pelepas bedil
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang bodoh disuruh arah
Yang berkurap pembawa buluh
Yang kuat pembawa beban
Yang berani jadi hulubalang

Begitulah metafora Melayu melihat potensi sumber daya manusia secara utuh. Semua sumber daya manusia  diberi peranan masing-masing yang sesuai dengan fitrah dan keupayaan mereka. Tidak berlaku sebarang pembaziran tenaga manusia, seperti ;

yang pekak pelepas bedil,

sekiranya ia ditugaskan menembak, ia tidak akan merusakan pendengarannya, kerana dia memang sudah sedia pekak ; atau

yang cantik penanti tamu,

anda bayangkanlah kalau yang hodoh menanti tamu, sudah tentu ia akan mendatangkan kesan yang tidak menyeronokan kepada tetamu. Lazimnya, jika ada tetamu sudah tentu ada hajat yang ingin disampaikan, maka ketampilan penanti tetamu yang cantik akan menyejukan hati tetamu, dan diharapkan segala perundingan selepas itu akan berjalan dengan licin dan lancar, atau


Yang lumpuh penghalau ayam,

Tidak ada potensi manusia yang tidak dimanfaatkan dalam sistem adat, waima seorang yang lumpuh masih ada peranan yang wajib dipikulnya. Dengan kata lain, dalam masyarakat Melayu tidak berlaku ‘pengangguran’, walaupun ia cacat, namun masih boleh peranan untuk kepentingan komunitinya.

Oleh yang demikian, budaya Melayu adalah sebuah budaya yang sangat mengambil berat dan mengutamakan pengurusan sumber daya manusia secara optima dengan agihan peranan yang sangat serasi dengan fitrah mereka.

Thursday, December 24, 2009

PERSEKUTUAN TANAH MELAYU, SABAH DAN SARAWAK ; TALI YANG 3 SEPILINAN, TUNGKU YANG 3 SEJERANGAN

Saya ingin mengajak anda semua untuk sejenak merenung dan berfikir berkenaan dengan Malaysia.

1. Malaysia diwujudkan pada 16 Sept 1963 di atas percantuman 4 entiti iaitu, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Pada 1965 Singapura menarik diri dari Malaysia, yang kekal menjadi entiti Malaysia sehingga hari ini dan insya ALlah kekal sepanjang zaman ialah Persekutuan Tanah Melayu (PTM), Sabah dan Sarawak. Mengikut perbidalan Melayu, itulah yang dikatakan "tali nan 3 sepilinan, tungku nan 3 sejerangan".



2. Status Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukanlah seperti tanggapan kita selama ini iaitu Sabah dan Sarawak dianggap sebagai salah satu negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu. Ini adalah satu tanggapan yang keliru sama sekali berdasarkan fakta penubuhan Malaysia.

3. Apabila Sabah dan Sarawak digambarkan dalam Jalur Gemilang sebagai salah satu dari 14 negeri-negeri Malaysia, ini tidak tepat sama sekali. Seharusnya, strip bendera Malaysia itu hanyalah 3 jalur sahaja, yang menggambarkan PTM, Sabah dan Sarawak. Lalu, bagaimana dengan negeri-negeri dalam PTM ?, kalau mereka mahu dirakamkan dalam bendera tersebut, silakan saja masuk dalam salah satu jalur yang tiga tersebut

4. Dari segi agihan peruntukan pembangunan, seharusnya Sabah mendapat 1/3, Sarawak 1/3 dan PTM 1/3. Itu baru disebut adil sebagaimana perbilangan menyebut : "MEMBAGI SAMA BANYAK ; MEUKUR SAMA PANJANG ; MENIMBANG SAMA BERAT". Namun memandangkan keadaan sekarang di mana PTM sudah terlalu jauh ke hadapan pembangunannya, maka takrifan adil sebagaimana yang disebut oleh ulama-ulama ialah : MELETAKAN SESUATU DITEMPATNYA, maka amat wajar sekali Sabah dan Sarawak mendapat masing-masing 40% dan PTM mendapat 20%. Kalau tidak, selama-lamanya Sabah dan Sarawak akan berada jauh ke belakang seperti sekarang ini.

Marilah kita renung bersama pandangan ini.